Jumaat, 21 Oktober 2016

JJEJAKKU DI PUNCAK GUNUNG NUANG

JEJAKKU DI PUNCAK GUNUNG NUANG



Agak lama sudah saya tidak membuat catatan pengembaraan akibat sifat kemalasan yang melampau. Beberapa siri pengembaraan yang berunsurkan pendakian telah saya buat beberapa bulan yang sudah, seperti G.Stong, G. Rajah dan bulan lepas CBL. Setiap siri pendakian yang dilalui mempunyai pengalaman yang berbeza dan tidak dapat dilupakan.
Kali ini saya paksakan diri juga untuk membuat sedikit catatan pengembaraan "jejakku di puncak G. Nuang" pada 15 oktober yang lepas. G.Nuang terletak di sempadan Selangor dan Pahang yang mempunyai ketinggian 1493 meter. Gunung ini mempunyai dua pintu masuk bagi sesi pendakian ke puncak iaitu melalui Pangsun dan Janda Baik. Saya mendaki G.Nuang kali ini menggunakan pintu masuk Pangsun. Seawal selepas Subuh saya bertolak bersama seorang lagi teman ke hutan lipur gunung nuang. Sebelum mendaki terlebih dahulu kami bersarapan untuk mengisi perut. Selepas bersarapan, kami bertolak ke gerbang permulaan. Bayaran sebanyak RM1 seorang dikenakan kepada setiap orang yang ingin mendaki G.Nuang ini.


Tepat jam 8 pagi saya memulakan siri pendakian menuju puncak. Trek pendakian ke puncak boleh dibahagikan kepada 3 fasa iaitu;
1. Daripada pintu masuk hingga ke kem lolo
2. Daripada kem lolo hingga ke kem pacat
3. Daripada kem pacat ke puncak G.Nuang.
Pada fasa yang pertama, laluan pendakian adalah sejauh 5.8km. Laluan ini agak mendatar dan boleh digunakan oleh kenderaan roda empat sehingga ke kilometer 4.9 sebelum memasuki hutan belantara. Disepanjang perjalanan terdapat 6 pondok wakaf disediakan kepada pendaki untuk berehat. Disepanjang laluan ini terdapat pokok-pokok buluh yang besar. Sesampainya saya di kem lolo, saya berehat sebentar dan mengambil air untuk masak maggi dan air teh setibanya di puncak nanti. Di kem lolo terdapat kawasan yang lapang untuk tapak perkhemahan dan juga anak sungai. Sangat sesuai sekiranya pendaki hendak bermalam di kawasan ini. Saya berjaya sampai ke kem lolo ini dalam masa 2 jam.



Pada fasa yang kedua, bermulalah cabaran pendakian kerana laluan akan mencondong sehingga 50 darjah. Disekeliling laluan adalah hutan belantara yang tidak saya ketahui nama dan jenis pokoknya. Saya berjaya sampai ke kem pacat dalam masa 1 jam 30 minit daripada kem lolo.
Fasa ketiga pula lebih mencabar kerana tahap kecondongan sehingga 70 darjah, sehinggakan terdapat beberapa laluan terpaksa menggunakan tali. Sebelum sampai ke puncak G.Nuang, saya sampai ke puncak pengasih terlebih dahulu iaitu 30 minit sebelum sampai ke puncak. Akhirnya tepat jam 1:30 petang saya berjaya menawan puncak G. Nuang selepas berhempas pulas selama 5 jam 30 minit. Walaupun tidak ada yang menarik sangat semasa di puncak, namun misi menakluk puncak G.Nuang setelah percubaan pertama yang gagal adalah sangat memuaskan. Saya berehat selama sejam di puncak sebelum menuruni puncak ke tapak permulaan. Perjalanan turun selalunya lebih singkat berbanding naik, saya berjaya sampai ke tapak permulaan dalam masa 4 jam.



Begitulah catatan siri penjelajahanku ke puncak gunung Nuang.